Pembantu Adun Bersatu, isteri disiasat kes pecah amanah

Pembantu Adun Bersatu, isteri disiasat kes pecah amanah

POLIS menahan pembantu kepada seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bersatu Selangor bagi membantu siasatan kes pecah amanah berjumlah RM533,440.

Menurut sumber, lelaki berusia 30-an itu ditahan bersama dua yang lain termasuk isterinya pada 10 April lalu.

Difahamkan ketiga-tiga mereka sudah dibebaskan dengan jaminan polis.

“Polis sedang menyelesaikan siasatan dan akan menyerahkannya kepada timbalan pendakwa raya tidak lama lagi,” kata sumber memetik laporan FMT.

Sumber itu bagaimanapun memaklumkan bahawa Adun Bersatu terbabit bukan suspek dalam kes berkenaan.

Kata sumber, pada Julai 2022, pembantu itu menjemput mangsa, seorang pengarah syarikat, untuk membida kontrak RM1.7 juta untuk menganjurkan program Kementerian Belia dan Sukan di Perak.

Beliau berkata, mangsa diminta membayar komisen sebanyak tiga peratus dan membida projek itu melalui sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang dikaitkan dengan pembantu itu.

Bagaimanapun, menurut sumber selepas menerima bayaran, mangsa menyedari dia mengalami kekurangan wang sebanyak RM533,440.

Mangsa dikatakan mendapati jumlah wang itu dipindahkan oleh NGO itu kepada sebuah syarikat milik isteri suspek.

Berikutan itu, mangsa membuat satu laporan polis dan kes disiasat mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan iaitu melakukan pecah amanah. – Malaysiapost

Komen