DATUK Wan Saiful Wan Jan hari ini memaklumkan persembahan penyanyi, Dayangku Intan sempena Aidilfitri ini akan disiarkan di RTM.
Ia susulan dakwaan penyanyi itu ‘digam’ oleh stesen penyiaran milik kerajaan tersebut berikutan perbezaan fahaman politik.
Menurut Wan Saiful yang juga Ahli Parlimen Tasek Gelugor, pagi ini beliau telah dimaklumkan mengenai perkembangan terbaharu itu yang mana gambar Dayangku Intan dalam poster yang sebelum ini didakwa dipadam, telah pun dimasukkan semula.
Beliau seterusnya berharap perubahan itu benar dan tidak berlaku pemotongan saat akhir.
“Perubahan keputusan ini dilakukan setelah rakyat bangkit menolak kezaliman yang cuba dilakukan untuk ‘gam’ artis tertentu disebabkan “latar belakang” mereka.
“Secara khusus, saya hargai tindakan segera netizen yang rata-rata turut mengkritik percubaan untuk gam artis.
“Maksudnya pendedahan dan tekanan yang kita berikan inshaAllah boleh membawa manfaat. Jangan biarkan kerajaan PH-Umno ini bermaharajalela menggunakan kuasa dan agensi-agensi kerajaan untuk menutup mulut mereka yang berbeza pandangan.
“Kita mesti terus bangkitkan isu-isu rakyat demi kebaikan semua,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Semalam Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil menafikan lagu nyanyian penyanyi popular era 1980-an, Dayangku Intan atau nama sebenarnya Tengku Intan Abdul Hamid digam.
Beliau mengesahkan tiada arahan untuk lagu penyanyi terbabit digam seperti dakwaan yang tular membabitkan penyanyi yang kini menyertai PAS itu.
“Tidak digam. Tiada arahan sedemikian,” jawabnya ringkas di Twitter.
Fahmi menjawab soalan seorang pengguna Twitter AM_SAL yang meminta beliau dan Ketua Pengarah Jabatan Penyiaran Malaysia, Suhaimi Sulaiman menjelaskan mengenai dakwaan berkenaan.
“YB fahmi_fadzil dan suhaimisulaiman boleh ‘confirm’ kan ‘allegation’ lagu Dayangku Intan ni di gam tak? Sebelum raya ni ‘better clarify’, tak nak jadi benda fitnah,” kata AM_SAL.
Suhaimi turut menjawab mengenai dakwaan berkenaan dengan menegaskan RTM tidak gam mana-mana penyanyi. – Malaysiapost