Sukarelawan Wataniah, PSAT, PSMM dapat bantuan Aidilfitri – PM

Sukarelawan Wataniah, PSAT, PSMM dapat bantuan Aidilfitri – PM

KERAJAAN akan memperluas Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri kepada tiga sukarelawan membabitkan Rejimen Askar Wataniah, Pasukan Simpanan Angkatan Tentera (PSAT) dan Pasukan Sukarelawan Maritim Malaysia (PSMM).

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ia susulan permohonan dikemukakan badan terbabit.

“Elaun untuk sukarelawan, ada permohonan yang dimasukkan iaitu sukarelawan askar wataniah, sukarelawan angkatan tentera dan sukarelawan maritim.

“Semua akan masuk bawah bantuan kategori sukarelawan Aidilfitri,” katanya selepas tinjauan ramah mesra bersama peniaga di Bazar Ramadan PKNS di Shah Alam, hari ini.

Sementara itu, menurut Kementerian Kewangan, seramai 26,000 orang daripada ketiga-tiga badan sukarelawan akan menerima bantuan khas kewangan yang membabitkan peruntukan RM7.8 juta.

Pada 29 Mac lalu, Perdana Menteri mengumumkan Bantuan Kewangan Aidilfitri kepada lebih 200,000 anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Sukarelawan Angkatan Pertahanan Awam (APM), sukarelawan polis dan bomba.

Mereka akan mendapat bantuan tunai RM300. – Malaysiapost

Komen