KERAJAAN membelanjakan kira-kira RM93 juta untuk menampung subsidi tol Rahmah percuma yang diberikan kepada pengguna lebuh raya selama empat hari sempena sambutan Aidilfitri.
Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, walaupun jumlah itu agak besar, namun ia selari dengan hasrat kerajaan untuk mengurangkan beban kos sara hidup rakyat.
Jelasnya, pemberian tol percuma bermula hari ini sehingga Jumaat dan Isnin itu yang membabitkan 33 lebuh raya utama negara adalah sumbangan raya kerajaan kepada rakyat.
“Jumlah yang diberikan Jabatan Belanjawan Negara itu adalah anggaran awal implikasi kewangan yang ditanggung kerajaan untuk menampung subsidi tol percuma di semua konsesi tol.
“Ini adalah sumbangan raya yang kerajaan beri kepada rakyat,” katanya selepas menghadiri program lawatan dan Penyerahan Sumbangan 2023 di Akademi Percukaian Malaysia, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), di Kuching, Sarawak.
Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengumumkan tol Rahmah percuma kepada pengguna 33 lebuh raya utama bermula hari ini hingga Jumaat dan pada 24 April ini.
Ahmad berkata, kerajaan memutuskan untuk memberikan tol percuma itu kerana menyedari beban yang ditanggung rakyat untuk membayar tol apabila bergerak di banyak tempat pada Aidilfitri ini.
“Dalam masa empat hari itu, pasti ramai yang hendak ke sana sini berjumpa keluarga dan sahabat handai untuk mengukuhkan persahabatan antara kaum dengan ziarah menziarahi.
“Jadi, anggaplah pemberian tol percuma itu sebagai duit raya sumbangan kerajaan,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Ahmad berkata, hasil kutipan cukai LHDN di Sarawak tahun lepas mencatatkan sebanyak RM6.6 bilion.
“Tahun ini kita sasarkan hasil kutipan cukai sebanyak RM6.8 bilion, saya harap rakyat Sarawak yang layak membayar cukai masing-masing.
“Sekiranya mengalami masalah boleh membuat pengakuan sukarela dari 1 Jun hingga 31 Mei tahun depan dan membuat rundingan dengan pegawai hasil untuk pembayaran,” katanya. – Malaysiapost