2 ditahan SPRM adalah pegawai Imigresen – Wisma Putra

2 ditahan SPRM adalah pegawai Imigresen – Wisma Putra

DUA pegawai penguat kuasa di Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Dhaka, Bangladesh yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) adalah pegawai Jabatan Imigresen.

Kementerian Luar Negeri dalam kenyataan memaklumkan pegawai terbabit sebelum ini ditempatkan sementara untuk bertugas di Pejabat Atase Imigresen di Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Dhaka, Bangladesh.

Menurutnya, pihaknya akan memberi kerjasama penuh dalam siasatan SPRM berhubung kes berkenaan selari dengan hasrat dan usaha berterusan Kerajaan Madani dalam membanteras gejala rasuah.

“Kementerian Luar sentiasa memberi perhatian utama kepada aspek integriti dalam kalangan kakitangan awam di kementerian ini dan yang bertugas di perwakilan diplomatik Malaysia di luar negara,” katanya.

Kenyataan itu susulan laporan media berhubung penahanan dua pegawai penguat kuasa yang bertugas di Kedutaan Malaysia di Bangladesh oleh SPRM kerana disyaki menerima wang rasuah bagi pengeluaran visa luar negara dan kemasukan pelancong serta pekerja Bangladesh ke negara ini.

Terdahulu, media melaporkan dua pegawai terbabit masing-masing lelaki dan wanita direman selama tiga hari, bermula kelmarin hingga hari ini selepas Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin membenarkan permohonan SPRM untuk perintah reman pada Selasa lalu.

Menurut sumber, SPRM mengesan beberapa transaksi kemasukan wang mencurigakan ke dalam akaun bank kedua-dua suspek dan mereka sudah diarahkan pulang ke Malaysia untuk membantu siasatan kes terbabit.

Lebih 20 akaun bank membabitkan individu dan syarikat berkaitan sudah diambil tindakan pembekuan.

Setakat hari ini, pembekuan akaun dan penyitaan harta alih dan tak alih membabitkan penyitaan lapan bidang tanah dianggarkan berjumlah kira-kira RM3.1 juta. – Malaysiapost

Komen