2 laporan polis Shahrir terhadap Tommy Thomas diklasifikasi ‘NFA’

TAN Sri Shahrir Samad mendedahkan laporan polis beliau terhadap Tan Sri Tommy Thomas telah diisytihar sebagai ‘NFA’ (tiada tindakan lanjut) sebanyak dua kali.

Veteran Umno itu berkata, kali pertama oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul pada 13 Januari 2023.

Kali kedua pula katanya, oleh Ibu Pejabat Polis Bukit Aman setelah dilakukan semakan semula kepada laporan polis pertama.

“Semuanya tak boleh sekali saja. Kena diulangi dan disemak. Supaya jangan silap dan salah.

“Macam pernyataan saya kepada SPRM. Tiga kali dan lapan kali saya nyatakan dana yang saya terima adalah duit ganti atau ‘reimbursement’, maka sepatutnya terkecuali dari cukai pendapatan.

“Tapi masih Peguam Negara guna ‘budibicara’ – “discretion” – untuk mendakwa sesiapa yang dia suka, cukup bukti atau tidak, lengkap siasatan atau tidak, tidak penting,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.

Pada 2 Februari lalu, Ketua Polis Sentul, Beh Eng Lai dilaporkan berkata laporan polis oleh Shahrir terhadap bekas Peguam Negara itu berhubung dakwaan salah guna kuasa diklasifikasikan sebagai NFA.

Eng Lai, berkata polis tidak akan menyiasat laporan itu kerana Thomas bertindak mengikut undang-undang.

“Seorang peguam negara mempunyai kuasa mutlak untuk mendakwa sesiapa mengikut Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Peruntukan itu menyatakan bahawa “Peguam Negara hendaklah mempunyai kuasa yang boleh dijalankan menurut budi bicaranya, untuk memulakan, menjalankan atau memberhentikan apa-apa prosiding bagi sesuatu kesalahan, selain prosiding di Mahkamah Syariah, mahkamah anak negeri atau mahkamah tentera”.

Shahrir dibebaskan daripada tuduhan pengubahan wang haram RM1 juta pada Januari lalu selepas pihak pendakwaan memberitahu mahkamah ia tidak mahu meneruskan kes itu.

Ini berlaku selepas pegawai SPRM memberitahu mahkamah, Thomas berkeras mahu mendakwa bekas Ahli Parlimen Johor Bahru itu walaupun kertas siasatan kes tidak lengkap.

Shahrir, bekas Pengerusi Felda, kemudian membuat laporan polis terhadap Thomas kerana didakwa menyalahguna kuasa.

Beliau juga mendakwa terdapat unsur pendakwaan berniat jahat dilakukan terhadapnya selaku seorang ahli politik dan pemimpin Barisan Nasional (BN).

Pada masa sama, beliau mendakwa kes mahkamah itu mencemarkan nama baiknya dan keluarga yang turut sama diheret dan diaibkan. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights