Dr Noor Hisham sempurnakan ‘clock out’ terakhir semalam

Dr Noor Hisham sempurnakan ‘clock out’ terakhir semalam

TAN Sri Dr Noor Hisham Abdullah semalam menyempurnakan majlis ‘clock out’ persaraan wajib di lobi Blok E7, Ibu Pejabat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) setelah berkhidmat selama 35 tahun.

Dr Noor Hisham yang berkhidmat sebagai Ketua Pengarah Kesihatan sejak tahun 2013, bersara wajib mulai hari ini.

Menerusi hantaran di Facebook KKM, kementerian itu menyatakan tanggal 19 April 2023, bermula usia persaraan beliau dan bermulalah fasa baharu sebagai pesara kerajaan.

“Khidmat bakti yang dicurahkan sepanjang menerajui KKM dan perkhidmatan awam amnya akan dikenang selamanya.

“Komitmen Tan Sri memastikan penyampaian perkhidmatan kesihatan berjalan lancar terutama ketika negara berdepan pandemik Covid-19, dari segi pasukan petugas perubatan, kemudahan kesihatan serta fasiliti kesihatan amat dihargai.

“Terima kasih diucapkan di atas segala pengorbanan, sumbangan dan jasa yang telah dicurahkan.

“Seluruh warga Kerja KKM ingin mengucapkan Selamat Bersara, Selamat Hari Jadi dan Selamat Hari Raya Tan Sri!,” tulis hantaran itu.

Turut hadir menyaksikan majlis itu ialah Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa.

Dr Noor Hisham mula menyertai perkhidmatan awam sebagai pegawai perubatan pada Ogos 1988 dan menyambung pengajian kepakaran dalam bidang pembedahan endokrin di Australia.

Beliau merupakan pakar bedah endokrin di Hospital Putrajaya. – Malaysiapost

Komen