Johor umum cuti tambahan Isnin

Johor umum cuti tambahan Isnin

KERAJAAN Johor mengisytiharkan Isnin ini sebagai Hari Kelepasan Am Tambahan sempena Hari Raya Aidilfitri.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, berkata tambahan hari kelepasan am itu telah diperkenan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

“Atas perkenan Sultan Ibrahim, sukacita dimaklumkan bahawa Kerajaan Negeri Johor bersetuju untuk mengisytiharkan tarikh 24 April 2023 iaitu Isnin ini sebagai Hari Kelepasan Am Tambahan.

“Perkara ini selaras dengan Seksyen 8 dan 9 Akta Hari Kelepasan 1951 (Akta 369),” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengumumkan hari kelepasan am sempena Aidilfitri pada 21 April 2023 iaitu Jumaat atau 24 April 2023 (Isnin).

Ia bergantung kepada pengumuman tarikh 1 Syawal yang akan dibuat oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, hari ini.

Sementara itu, Onn Hafiz turut mengambil kesempatan mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin kepada semua penduduk yang menyambut Aidilfitri.

“Berhati-hati di jalan raya dan semoga selamat pulang ke kampung halaman masing-masing,” pesannya. – Malaysiapost

Komen