‘Kenyataan Muhyiddin cenderung galak permusuhan’

‘Kenyataan Muhyiddin cenderung galak permusuhan’

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Tan Sri Muhyiddin Yassin sengaja mengungkapkan kenyataan fitnah terhadapnya yang dibuat dengan sewenang-wenangnya tanpa mengambil kira ia adalah benar atau sebaliknya.

Anwar yang menjawab pernyataan pembelaan Muhyiddin melalui saman fitnah difailkan beliau pada 20 Disember tahun lepas, berkata kenyataan tersebut memudaratkan nama baiknya dengan serius.

Tegas Anwar, sehubungan itu Presiden Bersatu itu tidak berhak untuk bergantung kepada pembelaan bersyarat melalui kenyataan fitnah tersebut.

Jawapan kepada pernyataan pembelaan Muhyiddin itu difailkan Anwar melalui firma guaman Tetuan SN Nair pada 16 Februari lepas.

Anwar memfailkan saman fitnah terhadap Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) berhubung kenyataan fitnah yang mendakwa beliau (Anwar) menerima bayaran RM15 juta sebagai Penasihat Ekonomi Selangor dalam satu ceramah ketika kempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Kenyataan tersebut didakwa dibuat pada ‘Grand Finale PN Padang Serai’ di Taman Selasih, Kulim sewaktu kempen PRU15 pada 5 Disember 2022.

Menurut Anwar lagi, kenyataan fitnah itu mempunyai kecenderungan untuk menggalakkan perasaan niat jahat, tidak puas hati atau permusuhan antara orang awam dan calon pilihan raya sebagai suatu dorongan ketika mengundi.

Tambahnya lagi, sehingga kini Muhyiddin tidak menamakan pegawai pihak ketiga daripada Kerajaan Selangor yang didakwa telah mendedahkan maklumat mengenai gaji RM15 juta itu.

Ahli Parlimen Tambun itu menegaskan, Muhyiddin perlu mendedahkan kepada mahkamah mengenai identiti pegawai berkenaan, dan menurutnya tanpa maklumat berkenaan, pegawai yang didakwa oleh Ahli Parlimen Pagoh itu hanya rekaan semata-mata.

Jelasnya, Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor, Juwairiya Zulkifli (ketika itu), sudah menafikan perkataan fitnah itu, malah ia tidak dicabar dalam apa cara sekali pun dengan butiran oleh Muhyiddin dalam pernyataan pembelaannya.

Muhyiddin dalam pembelaannya sebelum ini, menegaskan bahawa Anwar selaku ketua Kerajaan Perpaduan, pemimpin Pakatan Harapan (PH) dan Perdana Menteri tidak harus tersinggung terhadap kritikan dan pertanyaan yang dibangkitkan dalam ceramah politik.

Menurut Muhyiddin lagi, beliau dan Anwar adalah tokoh awam dan pemimpin parti masing-masing yang sentiasa berhadapan dengan dakwaan yang mungkin disalah nyata, disalah sebut atau diambil di luar konteks oleh media.

Katanya, ucapan ketika ceramah itu tidak memfitnah Anwar sebaliknya ia adalah suatu komen yang adil dan merupakan sebahagian daripada kempen politik untuk menyokong seorang calon PRU15 bagi Parlimen Padang Serai ketika itu. – Malaysiapost

Komen