Kuota bekalan petrol, diesel ditambah 2.3 juta liter sempena Aidilfitri

KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan menambah kuota bekalan petrol dan diesel sebanyak 2.3 juta liter bagi menampung keperluan sempena Aidilfitri.

Menterinya, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, ia membabitkan 1.2 juta liter atau empat peratus petrol RON95 dan sebanyak 1.1 juta liter iaitu lapan peratus diesel bersubsidi.

“Sempena Aidilfitri, Hari Wesak dan Hari Pekerja, KPDN mengambil maklum kemungkinan besar berlaku peningkatan penggunaan bahan api berdasarkan jumlah kenderaan luar biasa di jalan raya bagi perjalanan pulang ke kampung dan destinasi lain.

“Berikutan itu, kita meluluskan permohonan kuota tambahan kepada syarikat minyak untuk diagihkan kepada 4,030 stesen minyak di seluruh negara bagi keperluan berkenaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Pada masa sama, Salahuddin turut mengingatkan syarikat minyak supaya bersiap siaga memastikan kelangsungan bekalan di rangkaian stesen masing-masing di seluruh negara.

“Stesen minyak juga diharap dapat meningkatkan kawalan supaya jualan petrol RON95 dan diesel bersubsidi hanya untuk kenderaan memiliki nombor pendaftaran tempatan (Malaysia).

“KPDN tidak akan berkompromi terhadap mana-mana stesen minyak yang culas dan tidak mematuhi peraturan berkenaan.

“Mengikut Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961, pengusaha stesen minyak juga bertanggungjawab memastikan bekalan mencukupi di stesen masing-masing,” katanya.

Susulan itu, Salahuddin berkata, pengusaha stesen minyak perlu mematuhi waktu operasi stesen minyak dan tidak menutup premis seliaan mereka tanpa kebenaran KPDN.

“Usaha ini diharap dapat memberi kemudahan dan keselesaan kepada semua untuk menyambut Aidilfitri, Hari Wesak serta Hari Pekerja,” katanya. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights