BAPA kepada empat anak memohon maaf kepada semua pihak di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur, hari ini, di atas kesalahannya melepaskan anjing Belgian Shepherd hingga menyebabkan seorang wanita cedera parah.
Dalam prosiding itu hari ini, Majistret Nurul Izzah Shaharuddin memerintahkan N Trini Emmanuel Nettar, 53, dihukum penjara sebulan bermula kelmarin iaitu pada tarikh dia ditangkap, selepas mengaku salah terhadap tuduhan yang dikenakan terhadapnya.
Mengikut pertuduhan, Trini Emmanuel didakwa mendatangkan bahaya atau musibah kepada seorang wanita berusia 35 tahun, dengan melepaskan seekor anjing sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan parah di hadapan sebuah rumah, di Jalan Nangka, Off Jalan Kovil Hilir Perhentian pada jam 7.30 petang, 16 April lepas.
Dia didakwa mengikut Seksyen 289 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, dia yang tidak diwakili peguam merayu supaya hanya dikenakan hukuman denda minimum dengan alasan tidak bekerja dan menanggung keluarga.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Amalina Johar memohon mahkamah mengenakan hukuman penjara yang setimpal terhadapnya dengan mengambil kira faktor kepentingan awam. – Malaysiapost