POLIS Diraja Malaysia (PDRM) sentiasa bersiap siaga, meletakkan kepentingan dan kesejahteraan rakyat serta keselamatan negara pada tahap tertinggi sepanjang musim perayaan Aidilfitri ini.
Sempena Aidilfitri kali ini, Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani mengajak rakyat Malaysia memastikan keharmonian dan perpaduan yang sekian lama terjalin, kekal utuh dan berpanjangan.
Beliau juga mengajak rakyat semarakkan kemeriahan lebaran ini bersama sanak saudara, jiran tetangga dan rakan taulan tanpa mengira kaum, kepercayaan mahupun agama dengan meneruskan tradisi kunjung-mengunjung dan bermaafan.
“Bagi yang akan pulang ke kampung halaman, berhati-hati di jalan raya dan patuhilah peraturan keselamatan yang telah ditetapkan agar kita selamat sampai ke destinasi yang dituju.
“Pastikan juga rumah ditinggalkan dalam keadaan selamat, agar Aidilfitri ini dapat diraikan dengan penuh ketenangan,” katanya dalam perutusan sempena Aidilfitri hari ini.
Dalam pada itu Ketua Polis Negara berharap warga PDRM yang bertugas di musim perayaan menguatkan semangat dan tabahkan hati sepanjang berjauhan dengan keluarga tersayang.
“Sesungguhnya, inilah bukti sumpah dan taat setia yang kita ikrarkan, demi memastikan keselamatan dan keamanan negara kekal terpelihara.
“Semoga segala pengorbanan yang dicurahkan akan mendapat ganjaran tertinggi daripada Allah SWT jua,” katanya. – Malaysiapost