PENDAKWAH bebas, Ustaz Mohamad Wadi Annuar Ayub tetap dikehendaki hadir untuk diambil keterangan di Pejabat Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Perlis (JAIPs) pada 2 Mei ini.
Ia berhubung penyertaan beliau pada program Solat Terawih dan Sembang Santai Bersama Ustaz Wadi Annuar di Markaz Tarbiyah PAS Kawasan Kangar, Kompleks Pendidikan MATIN, Kampung Abi, Padang Machang, pada 30 Mac lalu tanpa mendapat tauliah daripada Jabatan Mufti Perlis.
Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs), Najmuddin Abdul Karim menerusi kenyataan berkata, pihaknya telah menerima beberapa pertanyaan daripada pihak media dan orang awam tentang sesi siasatan terhadap Ustaz Wadi Annuar yang dijadualkan pada 7 April lalu.
Beliau memaklumkan, pendakwah bebas itu telah memohon penangguhan beberapa tarikh sesi siasatan berdasarkan alasan-alasan yang telah dikemukakan kepada pihak JAIPs.
“Pihak JAIPs menegaskan bahawa siasatan terhadap penama akan tetap diteruskan pada 2 Mei 2023 (Selasa) dan tindakan undang-undang termasuk pelaksanaan waran tangkap akan diambil sekiranya arahan ini tidak dipatuhi,” katanya.
Sebelum ini, pendakwah itu telah beberapa kali diminta hadir ke pejabat JAIPs di Kangar untuk diambil keterangannya mengenai program pada akhir bulan lalu, tanpa mendapat tauliah daripada Jabatan Mufti Perlis.
Malah, satu laporan polis dibuat di Balai Polis Kangar oleh JAIPs selepas anggota penguat kuasa dihalang oleh penganjur daripada bertemu dengan Ustaz Wadi yang mahu mengambil keterangan berhubung tindakan memberi ceramah di negeri ini. – Malaysiapost