KERAJAAN tidak bercadang memperkenalkan prosedur operasi standard (SOP) khas sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri walaupun berlaku peningkatan baharu kes Covid-19 ketika ini.
Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa berkata, langkah pencegahan yang telah dilaksana setakat ini diyakini mampu mengawal penularan wabak berkenaan.
“Memang jumlah kes Covid-19 sedang meningkat, tetapi masih dalam keadaan yang terkawal. Ini kerana penularan baharu melibatkan sub varian Omicron.
“Rakyat tidak perlu bimbang kerana walaupun berlaku peningkatan, namun situasinya masih dalam keadaan terkawal. Walaupun ia mudah berjangkit tetapi tahap teruk bagi kes-kes itu adalah sangat rendah,” katanya.
Walaupun tiada SOP khas, Dr Zaliha menasihatkan masyarakat sentiasa berjaga-jaga sepanjang tempoh perayaan Aidilfitri ini, khususnya ketika mengadakan kunjungan.
“Pada musim perayaan ini, pastinya akan ada kunjung-mengunjung, dan makan-makan, jadi kita minta masyarakat awam peka. Sekiranya mereka berasa kurang sihat, lakukan ujian saringan sekiranya perlu.
“Jika benar mereka dijangkiti, ambil langkah pencegahan dengan menjaga jarak dan pergaulan, manakala langkah pencegahan lain seperti memakai pelitup muka, kerap membasuh tangan dan menjaga kebersihan,” katanya.
Dalam tempoh 9 hingga 15 April lalu, sebanyak 5,149 kes Covid-19 baharu dilaporkan dengan jumlah kumulatif melebihi lima juta kes.
Sementara itu, Dr Zaliha berkata, pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sudah mempunyai senarai pendek calon bagi mengisi kekosongan jawatan Ketua Pengarah Kesihatan.
Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah yang memegang jawatan itu sejak 2013, bersara wajib mulai Jumaat ini. – Malaysiapost