DAP menyanggah Islam

PRESIDEN Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang, berpendapat kenyataan veteran DAP Lim Kit Siang baru-baru ini mengenai isu pembebasan Datuk Seri Najib Razak hanyalah bertujuan untuk melihat Umno menjadi lebih kuat berbanding PAS dan Bersatu, tidak seharusnya dibaca yang tersurat sahaja.

Ahli Parlimen Marang itu, berkata kenyataan berkenaan harus difahami yang tersiratnya dan beliau mendakwa kenyataan yang dibuat tidak menyembunyikan perjuangan dan hala tuju parti DAP.

“Tidak menghairankan apabila DAP yang berprinsip dan berkonsepkan sosialisme, sekularisme dan Malaysian Malaysia mengikut undang-undang tubuhnya, mengambil pendekatan pragmatik.

“Justeru, perlu dilakukan muhasabah terhadap parti yang menjadi salah satu mazhab kepada asal usul falsafah Karl Marx, yang diubah suai mengikut realiti dan situasi yang berbeza dalam masyarakat pelbagai kaum, agama dan budaya,” katanya dalam segmen Minda Presiden PAS, di Facebook, hari ini.

Beliau berkata, sebelum ini, DAP telah menyertai gabungan 55 buah parti demokratik sosial, sosialis dan buruh yang lain di seluruh dunia, sebagai ahli Sosialis Antarabangsa (SI) dalam sebuah persidangan di Zurich, Switzerland.

Menurutnya, di Malaysia semua kumpulan kiri bersekongkol bersama DAP, termasuk kumpulan komunis yang paling ekstrem sehingga diharamkan dan setelah tidak ada tempat dalam hutan rimba, maka bersembunyilah mereka dalam DAP.

Katanya, dulu Pas bertahaluf dengan DAP dan bersama parti-parti lain dalam gagasan pembangkang berkonsepkan titik persamaan kemanusiaan yang tidak menyentuh dasar parti dan tidak terpesong hala tujunya.

“Apabila Pas mencapai sedikit kejayaan dalam kerjasama itu, sehingga berjaya memerintah Kelantan dan Terengganu, terkini memimpin Kedah pula, serta menambah kerusi di Parlimen, maka dianggapnya bahaya gelombang hijau kerana Pas mendapat kerusi terbanyak.

“Tafsiran yang ekstrem terhadap Pas, bukan kerana salahnya, tetapi kerana sikap menolak kebenaran secara tidak adil.
Begitulah ketidakselesaan DAP ketika Pas pernah mengatasi parti-parti lain dalam Pakatan Rakyat,” katanya.

Abdul Hadi berkata, menjadi kewajipan Pas melaksanakan Islam melalui proses demokrasi berparlimen dan konsep federalisme melalui negeri-negeri yang berada di bawah kerajaan Pas dan bersuara di Parlimen berkonsepkan amar ma‘ruf dan nahi munkar.

“DAP secara terbuka mempertahankan tafsiran sekularisme dalam perlembagaan yang tidak disebutkan dengan nyata. Sebaliknya, PAS tetap mempertahankan Islam yang nyata dalam Perlembagaan Persekutuan bahawa negara ini mestilah mengikut tafsiran ajaran Islam berpandukan perkataan ‘al-din’ yang terkandung dalam al-Quran.

“Sekularisme mentafsirkan agama mengikut teori dan ideologi yang dibawa oleh penjajah dahulu. Tafsiran ini perlu dihapuskan setelah kita dikatakan telah mencapai kemerdekaan, termasuk kemerdekaan dari sudut kefahaman dan aqidah,” katanya.

Beliau menegaskan, Pas berpegang kepada syarat-syarat tahaluf (persefahaman dengan pihak lain) yang dibenarkan selagi tidak melanggar dasar yang menjadi aqidah sebuah parti Islam.

“Tiba-tiba pihak DAP secara terbuka dan agresif, menyanggah perkara yang menjadi prinsip kepada perjuangan Pas, walaupun Pas tetap memilih pendekatan demokrasi melalui Dewan Rakyat (Parlimen) dan Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Menjadi hak kepada semua pihak untuk memberikan pandangan yang berbeza, tetapi DAP bertindak lebih dahulu dan beberapa kali mengeluarkan dirinya daripada persefahaman dengan hujah demi kepentingan perjuangan politiknya untuk menguasai negara. Bahkan, mereka mahu memaksa Pas mengubah dasar dan hala tujunya,” katanya.

Abdul Hadi berkata, Dap juga tidak dapat menutup pendirian politiknya yang sebenar dan hal demikian terbukti dalam Deklarasi Setapak yang memperkukuhkan pandangan Dap bahawa kesamarataan etnik harus menjadi prinsip paling penting.

“Kini, DAP dan rakan-rakannya menggunakan pendekatan yang sama seperti penjajah dahulu, mempertahankan kerajaan yang diberi nama perpaduan walaupun tiada perpaduannya.

“Kini, DAP mendedahkan penipuan yang tidak dapat disembunyikan lagi apabila bekerjasama dengan Umno dengan tujuan mendapat undi Melayu Islam bagi menampung kegagalan PKR dan PAN (Amanah) yang kehilangan undi Melayu Islam.

“Pas tidak boleh ditipu dan diheret keluar daripada dasarnya dan hala tuju Islamnya. Maka, PAS tidak boleh dimasukkan ke dalam dapur masakan DAP yang ada bersamanya makanan yang tidak halal, walaupun bertukar tukang masaknya atau diambil tukang masak beragama Islam,” tegasnya. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights