SEMUA atlet yang pulang ke kampung menyambut Aidilfitri dengan menaiki kenderaan dinasihatkan berhati-hati ketika memandu.
Peringatan itu dibuat Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh yang berpesan supaya atlet memberi fokus kepada pemanduan untuk keselamatan diri sendiri dan pengguna jalan raya yang lain.
“Nasihat saya kepada semua atlet yang balik kampung berhati-hati di jalan raya dan pastikan anda fokus memandu kereta.
“Jangan tengok telefon bimbit sahaja, nasihat ini untuk semua orang sebenarnya yang menggunakan jalan raya,” katanya dipetik Utusan Online, hari ini.
Hannah juga berharap atlet dapat memanfaatkan sambutan Aidilfitri ini dengan meluangkan masa bersama keluarga dan sanak-saudara.
Selain itu, beliau turut menasihatkan warga sukan agar menjaga diet masing-masing ketika menikmati juadah hari raya.
Tegasnya, jangan sesekali memusnahkan diet sebulan berpuasa dengan mengambil makanan tanpa kawalan yang sewajarnya.
“Ingatan ini sebenarnya bukan untuk atlet semata-mata, ia juga satu ingatan buat diri saya dan semua orang, saya harap kita jaga diri kita.
“Selama sebulan berpuasa, jaga sikit makanan yang kita ambil semasa raya, kalau tidak semua kilogram yang kita hilang nanti patah balik dengan cepat semasa raya,” katanya. – Malaysiapost