Islam mengajar kita untuk bersangka baik – Akmal Saleh

KETUA Pemuda Umno Dr Muhamad Akmal Saleh, menyelar tindakan pemimpin Pas yang dilihat menyindir usaha Kerajaan Perpaduan mengadakan sambutan rumah terbuka Aidilfitri di negeri-negeri pada kali ini termasuk negeri ditadbir pembangkang.

Menurutnya, pemimpin berkenaan seharusnya berfikiran positif kerana apa yang dilakukan kerajaan itu memberi manfaat kepada semua rakyat.

“Islam mengajar kita untuk bersangka baik. Tetapi kalau hati dan pemikiran dah disetkan untuk jadi negatif, maka apa yang orang lain buat semua tak kena, yang bagus diri sendiri sahaja,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Beliau membidas tindakan Ketua Pemuda Pas Ahmad Fadhli Shaari, yang membangkitkan mengenai penganjuran majlis rumah terbuka Aidilfitri di negeri-negeri ditadbir Pas iaitu Kelantan, Terengganu dan Kedah selain tiga lagi negeri iaitu Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan yang semuanya akan terbabit Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.

Dr Muhamad Akmal berkata, tindakan kerajaan pusat mengadakan jamuan raya di negeri pimpinan Pas adalah sesuatu yang bagus kerana yang dapat manfaat bukan pemimpin pas sahaja tetapi semua rakyat di dalam negeri berkenaan.

“Kalau tidak dibuat, dikatakan kerajaan pusat buat negeri ni mcm anak tiri walaupun peruntukan pusat kepada negeri ni antara yang terbanyak berbanding negeri lain.

“Jamuan raya ni macam sedekah juga lah, macam yang tuan guru bagitau, sedekah tak apa bukan rasuah,” sindirnya. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights