Jangan lupa bayar zakat fitrah
RAMADAN kini berada di penghujungnya dan umat Islam di negara ini diingatkan tentang kewajipan menunaikan zakat fitrah bagi yang belum melaksanakannya.
Peringatan itu diberikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar dalam satu hantaran di laman Facebooknya, hari ini.
“Walau siapapun kita, kita adalah hamba Allah. Semoga Allah beri petunjuk dan taufiq kepada kita semua.
“Saya mengambil kesempatan tengahari semalam, menunaikan zakat fitrah kepada ‘amil Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ~MAIWP) yang bertugas di Masjid Tuanku Zainal Abidin.
“Sahabat semua usah dilupa kewajipan berzakat fitrah. Lunaskan melalui Majlis Agama Islam Negeri-Negeri. Semoga Allah mensucikan harta kita,” katanya.
Beliau turut memetik hadis Nabi daripada Abdullah bin Umar RA bahawa Baginda SAW bersabda mafhumnya:
أَنَّ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَرَضَ زَكَاةَ الْفِطْرِ مِنْ رَمَضَانَ عَلَى النَّاسِ، صَاعًا مِنْ تَمْرٍ، أَوْ صَاعًا مِنْ شَعِيرٍ، عَلَى كُلِّ حُرٍّ أَوْ عَبْدٍ، ذَكَرٍ أَوْ أُنْثَى، مِنَ الْمُسْلِمِينَ
Maksudnya: “Rasulullah SAW mewajibkan zakat fitrah pada bulan Ramadan ke atas umat Islam dengan satu gantang tamar, satu gantang tepung barli sama ada yang merdeka atau hamba sahaya, lelaki atau perempuan dalam kalangan umat Islam.”
(Riwayat Muslim) – Malaysiapost