‘Kau nak menang? Kau menanglah Syamsul, aku kalah’ – Puteri Sarah

‘Kau nak menang? Kau menanglah Syamsul, aku kalah’ – Puteri Sarah

PELAKON, Puteri Sarah Liyana rela mengaku kalah terhadap suaminya, Syamsul Yusof susulan beliau sudah terlalu penat dengan ‘drama’ rumahtangganya yang terus berlanjutan dan mahu dirinya dilepaskan segera dengan cara baik.

Menerusi hantaran di Instagram miliknya, Puteri Sarah atau nama sebenarnya Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin, 38, meluahkan dirinya sudah tidak tahan untuk meneruskan perbalahan dan saling berbalas kenyataan dengan Syamsul, 39.

Menurutnya, beliau hanya mahu diceraikan secara baik serta tidak mahu menuntut satu sen harta daripada suaminya, sekiranya itu yang diinginkan selama ini.

“Kepada Mohd Syamsul, kau tak nak bagi nafkah aku, suka hati kau. Kau nak menang, kau menanglah, aku kalah.

“Kau jawab di akhirat nanti. Aku hanya mahu keluar daripada perkahwinan toksik ini. Kalau kau nak ambil semua harta, ambillah. Aku tak nak.

“Aku ada kaki dan tangan boleh bekerja sendiri, tetapi hak anak-anak jangan diabaikan,” kongsinya menerusi sebuah video, hari ini.

Terdahulu dalam hantaran berasingan, Puteri Sarah mengaku menyesal berkahwin dengan pengarah filem Mat Kilau itu.

“Aku hanya mahu ‘move on’ dan gembira bersama anak-anak aku. Satu benda yang paling aku menyesal dalam hidup aku ialah berkahwin dengan kau (Syamsul).

“Tapi aku bersyukur dapat mak dan bapa mertua yang paling terbaik dalam hidup aku,” tulisnya.

Pada 18 April lalu, Syamsul membatalkan hasrat untuk melafazkan talak terhadap Puteri Sarah kerana mendakwa isteri pertamanya itu telah menghantar terma penyelesaian perceraian baharu yang bertentangan dengan syarat dipersetujui sebelum itu, termasuk isu nafkah dan kes terhadap Ira Kazar.

Namun, Puteri Sarah pula menegaskan dia tidak pernah berjanji untuk menarik semula kes saman terhadap keluarga madunya, Ira Kazar ketika perbincangan berlangsung sebelum ini.

Pasangan selebriti itu berkahwin pada pada 8 Mac 2014 dan mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Syaikhul Islam, 6, dan Sumayyah, 4. – Malaysiapost

Komen