Malaysia minta bantuan Jerman bawa keluar rakyat dari Sudan

PERDANA Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta bantuan Jerman untuk membantu dalam usaha membawa keluar rakyat Malaysia di Sudan yang kini sedang bergolak.

Permintaan itu disampaikan Anwar dalam perbualan telefonnya dengan Presiden Jerman Frank-Walter Steinmeier, semalam.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, perkara itu antara yang menjadi topik perbualan mereka.

“Menerima panggilan telefon daripada TYT Frank-Walter Steinmeier, Presiden Republik Persekutuan Jerman semalam bagi membincangkan isu-isu hubungan dua hala Malaysia-Jerman, kerjasama anti-rasuah antara institut anti-rasuah kedua-dua negara, dan kerjasama dalam inisiatif tenaga karbon hijau.

“Saya juga berkesempatan memohon bantuan daripada pihak Jerman untuk membantu dalam usaha repatriasi rakyat Malaysia dari Sudan,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Beliau berkata, usaha membawa pulang rakyat Malaysia di Sudan sedang dilakukan Kementerian Luar Negeri Malaysia yang akan menggembleng segala usaha bagi memastikan keselamatan rakyat Malaysia di luar negara terjamin.

Sebelum ini, Menteri Luar Datuk Seri Zambry Abd Kadir dalam satu kenyataan memaklumkan situasi di Sudan kini semakin meruncing termasuk “pengambilan paksa” Kompleks Petronas yang menempatkan Kedutaan Besar Malaysia.

Menurutnya, susulan perkembangan terbaharu itu Pasukan Khas yang diketuai Kementerian Luar Negeri (KLN) telah merangka pelan evakuasi untuk membawa pulang rakyat Malaysia di Sudan.

Beliau berkata, berdasarkan data terkini yang dikongsikan oleh Kedutaan Besar Malaysia di Khartoum, jumlah rakyat Malaysia di negara berkenaan adalah seramai 32 orang. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights