AGIHAN kerusi bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) melibatkan parti komponen Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) di tiga negeri telah selesai 90 peratus.
Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, tiga negeri itu ialah Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang.
Tiga negeri lain iaitu Kedah, Kelantan dan Terengganu, katanya, rundingan masih lagi berjalan di peringkat kepimpinan negeri masing-masing.
“Kita beri kebebasan kepada kepimpinan negeri masing-masing untuk mengadakan rundingan berhubung agihan kerusi. Di Kedah, sudah ada beberapa pusingan untuk mereka berunding.
“Ada negeri pula yang baru saja nak bermula rundingan, biasanya kita memerlukan dua atau tiga kali rundingan, barulah dapat selesai isu-isu termasuk kerusi yang kita nak pertandingkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengulas perkembangan agihan kerusi antara PH dan BN di enam negeri selepas melakukan pemeriksaan mengejut ke Pasar Awam Larkin Sentral, di Johor Bahru, hari ini.
Mengulas sama ada Amanah mampu menembusi Kedah, Kelantan dan Terengganu yang merupakan kubu kuat Perikatan Nasional (PN), katanya, tiada keadaan yang statik dalam politik.
“Selepas Pilihan Raya Umum ke-12 lepas, saya rasa keadaan politik begitu mudah berubah.
“Jadi apa yang berlaku, mungkin PAS dan PN mendakwa itu kubu kuat mereka, belum tentu juga, kita akan buat penampilan terbaik di ketiga-tiga negeri itu,” katanya.
Menurut Salahuddin, Amanah juga akan pastikan parti itu bekerja keras di negeri-negeri di bawah pentadbiran PH sekali gus mempertahankan kerusi yang dimenangi.
“Macam Kedah kita rasa mempunyai peluang agak baik, Kelantan dan Terengganu kita akan letakkan calon berpotensi,” katanya. – Malaysiapost