KETUA Pemuda Pas Ahmad Fadhli Shaari, secara sinis mengucapkan terima kasih kepada kerajaan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang akan mengadakan rumah terbuka Aidilfitri di negeri-negeri ditadbir Pas.
Sindiran itu susulan sambutan itu ‘secara kebetulan’ diadakan di negeri-negeri yang akan terbabit dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.
Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) itu berkata, sambutan itu akan diadakan di negeri-negeri ditadbir oleh Pas iaitu Kelantan, Terengganu dan Kedah.
“Menurut JPM (Jabatan Perdana Menteri) lagi, acara serupa akan turut diadakan di Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan namun tarikhnya tidak dinyatakan.
“Secara kebetulan, enam negeri ini akan terlibat dengan PRN selepas hari raya nanti. Jika biasanya rumah terbuka Perdana Menteri hanya sekali sahaja di Putrajaya atau Kuala Lumpur, kali ini diadakan sebanyak enam kali.
“Tentulah ia hasil penjimatan Perdana Menteri tidak mengambil gaji dan menolak pemberian hadiah di majlis-majlis yang dihadiri,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Beliau menggambarkan sambutan itu diadakan hanya kerana PRN di negeri-negeri berkenaan tidak lama lagi dan kementerian yang terbabit rapat dengan program berkenaan juga terbabit gerak kerja parti pimpinan kerajaan.
“Tahniah. ‘Secara kebetulan’ pula kementerian yang diatur terlibat rapat pula dengan gerak kerja parti. Contoh, Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim menyelia program di Kelantan di mana Menterinya ialah Pengerusi PKR Kelantan.
“Sebesar mana majlis akan diadakan? Menurut Utusan Malaysia, jumlah kehadiran pengunjung disasarkan di Kedah adalah seramai 25,000 orang. Manakala, sasaran di negeri-negeri lain pula adalah seramai 15,000 orang di setiap lokasi.
“Jom kita hadir beramai-ramai meriahkan sambutan ini bersama Perdana Menteri, dan beramai-ramai menolak Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) dalam PRN nanti,” katanya.
Terdahulu Perdana Menteri mengumumkan anjuran Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri yang merupakan acara tahunan di Kompleks Seri Perdana, tidak akan diadakan bagi tahun ini.
Menurut beliau, ia adalah bagi membolehkannya menghadiri Majlis Rumah Aidilfitri yang dianjurkan agensi-agensi Kerajaan Persekutuan serta kerajaan negeri.
Anwar turut mengumumkan sebagai permulaan beliau akan menghadiri Majlis Rumah Terbuka peringkat negeri di Kedah yang dijadual berlangsung pada 29 April depan. – Malaysiapost