Sofyank dinobat juara Ultimate VFX Challenge di Los Angeles

PEMPENGARUH media sosial, Muhammad Sofian Abdullah atau Sofyank, berjaya menjuarai Ultimate VFX Challenge, di Los Angeles.

Sofyank yang tidak asing lagi dalam industri seni video kreatif itu menyertai acara anjuran personaliti YouTube terkenal, Zach King.

Dalam video di Youtube, King berkata, dia menerbangkan tiga pencipta video kreatif terbaik yang pernah memenangi anugerah ‘Magic of the Month,’ juga anjurannya.

Selain Sofyank, dua lagi peserta adalah Eva dari Netherlands dan Brandon dari United Kingdom.

Pada pertandingan akhir, peserta mengharungi beberapa cabaran, antaranya mendapatkan kesemua peralatan teknikal yang diperlukan untuk proses rakaman dan suntingan video.

King memuji kebolehan Sofyank dalam aspek penceritaan dan kesan videl atau ‘visual effect (VFX), sambil berharap Sofyank terus mencipta video kreatif pada masa depan.

Sofyank sering kali mendapat perhatian netizen kerana menghasilkan video-video kreatif yang dikongsi di laman instagramya.

Dia juga pernah menarik perhatian antarabangsa apabila pelakon terkenal, Will Smith memuat naik semula video yang disuntingnya.

Sementara itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melahirkan rasa bangga dan kagum dengan pencapaian Sofyank.

“Tahniah saudara @sofyank96. Pastinya daya kreatif mesti dicambah dan digalak terus.

“Pencapaian saudara Sofyank ternyata satu kejayaan yang membanggakan negara di persada antarabangsa,” ciapnya di Twitter.

Terdahulu, Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata, kejayaan anak muda itu telah mengharumkan nama Malaysia di persada dunia dan menyifatkan bakat Sofyank sebagai luar biasa.

“Tahniah buat anak muda, Sofyank, yang mengharumkan nama Malaysia (dan Lembah Pantai) dengan menjuarai Ultimate VFX Challenge di Los Angeles.

“Bakat Sofyank mencipta kandungan sangat luar biasa. Insya-Allah akan ada beberapa kolaborasi bersama beliau selepas ini.

“Paling menarik, beliau sangat beradab dan merendah diri. Terus berjaya, Sofyank,” katanya. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights