SEPASANG suami isteri maut manakala anak perempuan mereka cedera selepas kereta dinaiki keluarga itu bertembung dengan sebuah bas ekspres di Kilometer 21 Jalan Kuala Terengganu-Kota Bharu, hari ini.
Dalam kejadian yang dipercayai berlaku kira-kira jam 12.30 tengah hari, pemandu Perodua Myvi, Che Ku Yusoff Ali Che Ku Embong, 52, dan isteri, Siti Faridaf Ahmad, 46, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Manakala, anak mereka, Che Ku Batrisya, 18, yang berada di tempat duduk belakang dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu untuk rawatan.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Superintenden Wan Mohd Zaki Wan Ismail berkata, pemandu serta tujuh penumpang bas turut cedera dan dirawat di HSNZ dan Hospital Setiu.
Beliau berkata, kejadian itu berlaku ketika bas ekspres tersebut dengan 30 penumpang termasuk pemandu dan kelindan menuju Kuantan, Pahang dari arah Kota Bharu, Kelantan
“Sebaik tiba di tempat kejadian, kereta dipandu Che Ku Yusoff Ali dari arah bertentangan telah masuk ke laluan bas ekspres.
“Akibat jarak yang terlalu dekat, pemandu bas ekspres berusia 51 tahun gagal mengelak lalu menyebabkan kedua-dua kenderaan itu bertembung.
“Pemandu dan penumpang kereta yang juga suami isteri maut di tempat kejadian manakala anak perempuan berumur 18 tahun dirawat di HSNZ,” katanya.
Wan Mohd Zaki berkata, pemandu bas ekspres terbabit juga mendapat rawatan di HSNZ, sementara tujuh orang penumpang dibawa ke Hospital Setiu untuk pemeriksaan lanjut.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. – Malaysiapost