SULTAN Johor, Sultan Ibrahim Iskandar dan Permaisuri Johor Raja Zarith Sofiah Idris Shah berkenan mengadakan Majlis Rumah Terbuka di Istana Besar Johor, pada hari raya kedua iaitu pada hari Ahad ini.
Poster bagi jemputan bagi rumah terbuka itu dikongsikan di laman Facebook rasmi Sultan Ibrahim.
“Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Johor dan DYMM Permaisuri sekeluarga berkenan menerima kunjungan rakyat pada hari raya kedua.
“Rakyat boleh menghadiri majlis tersebut bermula pukul 9 pagi hingga 1 tengah hari,” menurut hantaran itu.
Sementara itu, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi pula menjemput seluruh rakyat di negeri itu memeriahkan Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri 2023/1444H yang akan diadakan di kediaman rasminya di Saujana, pada hari raya pertama esok.

“Saya dan isteri dengan rendah hati ingin menjemput seluruh Bangsa Johor untuk sama-sama memeriahkan Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri 2023/1444H yang akan diadakan Sabtu (esok).
“Dari jam 9 pagi hingga 1 tengah hari di Saujana, Kediaman Rasmi Menteri Besar Johor,” katanya dalam satu hantaran di laman Facebook, hari ini.
Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad malam tadi mengumumkan bahawa umat Islam di negara ini akan menyambut Hari Raya Aidilfitri esok. – Malaysiapost