4 maut, 8 cedera dalam kemalangan di Kemaman

EMPAT termasuk seorang bayi maut dalam kemalangan membabitkan dua kereta Proton Persona di Jalan Terengganu-Jabor, petang tadi.

Ketua Zon 2 Jabatan Bomba dan Penyelamat Terengganu, Penguasa Kanan Bomba II, Azman Alias berkata, kejadian tersebut turut menyebabkan lapan individu termasuk tiga kanak-kanak cedera.

Beliau berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kemalangan membabitkan dua kereta Persona, kira-kira jam 4.47 petang.

“Persona pertama dinaiki tujuh mangsa dan tiga yang maut itu ialah dua wanita, Tuan Yah Dollah, 61, Nor Nadia Natasha Abu Bakar, 22, dan Nor Syafinaz Naura Saiful Azwan, berusia dua tahun.

“Empat lagi mangsa dalam kereta itu iaitu seorang lelaki, seorang wanita dan dua kanak-kanak cedera,” katanya.

Azman berkata, sebuah lagi kereta dinaiki lima mangsa dan seorang daripadanya maut ialah Abdul Halim Ismail 51, yang duduk di bahagian penumpang depan.

“Empat lagi penumpang kereta itu, seorang lelaki, dua perempuan dan seorang kanak-kanak cedera,” katanya.

Menurutnya, tiga yang maut itu berasal dari Bandar Cheneh Baru Kemaman manakala Abdul Halim beralamat di Batu Rakit Kuala Terengganu.

“Kesemua mangsa disahkan meninggal oleh pegawai perubatan yang dipanggil ke tempat kejadian manakala yang cedera dikejarkan ke Hospital Kemaman.

“Mayat kesemua mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights