4 sekeluarga ditemui pengsan dalam Proton Exora di Plaza Tol Bentong

EMPAT sekeluarga ditemui tidak sedarkan diri dalam sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) di Plaza Tol Bentong menghala ke Kuala Lumpur, petang tadi.

Dalam kejadian jam 2.40 petang itu, mangsa, seorang lelaki dan wanita serta dua kanak-kanak, ditemui telah pengsan dalam Proton Exora.

Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) PDRM dalam kenyataan menerusi Facebook berkata, kesemua mangsa telah dibawa ke Hospital Bentong dengan ambulans.

“Kejadian berlaku di Plaza Tol Bentong (arah ke Kuala Lumpur). Bagaimanapun punca kejadian masih dalam siasatan.

“Petugas JSPT yang berada di lokasi turut hadir membantu,” katanya hari ini.

Sehubungan itu, JSPT menasihatkan pengguna jalan raya supaya sentiasa memastikan kenderaaan dalam keadaan baik dan rehat secukupnya sebelum memandu berikutan cuaca tidak menentu.

“JSPT bersimpati dengan kejadian yang menimpa mangsa sekeluarga dan berdoa semoga kesemua mangsa diberi kesembuhan seperti sedia kala,” katanya.

Berdasarkan gambar yang dimuat naik di Facebook, Proton Exora yang dipandu mangsa sebelum itu telah melanggar tembok di Plaza Tol Bentong berkenaan. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights