SEBANYAK tujuh kawasan di Semenanjung Malaysia mengalami cuaca panas Tahap 1 (Berjaga-jaga) dengan catatan suhu maksimum antara 35 hingga 37 darjah Celsius, hari ini.
Kawasan itu ialah Kuala Terengganu, Jeli, Kuala Krai, Pasir Mas, Tanah Merah, Kuala Selangor dan Jempol.
Manakala dua lokasi di Sabah iaitu Beaufort dan Nabawan juga mencatatkan cuaca panas Tahap 1 dengan suhu maksimum yang sama.
Sehubungan itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menasihatkan agar penduduk di kawasan sekitar berwaspada dengan hadkan aktiviti luar dan mengamalkan pengambilan air mencukupi.
“Bagi tinjauan cuaca semasa, hujan lebat sedang berlaku melibatkan di semua kawasan di seluruh Semenanjung Malaysia terutama di pedalaman dan pantai barat Semenanjung.
“Keadaan hujan yang berlaku ketika ini dijangka boleh berlanjutan sehingga ke awal malam nanti,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Di Sabah dan Sarawak, hujan sedang berlaku di beberapa tempat termasuk Sandakan, pantai barat dan pedalaman di Sabah termasuk di sekitar bahagian Limbang, Kapit, Bintulu, Mukah, Sibu dan Kuching. – Malaysiapost