PERDANA Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru seluruh anak pertiwi agar menyemarakkan Malaysia Madani, konsep yang diusulkannya bagi Kerajaan Perpaduan pimpinannya.
Beliau turut berkongsikan video muzik rasmi Malaysia Madani nyanyian kumpulan Bunkface di laman Facebook rasminya hari ini.
“Ayuh semua anak pertiwi semarakkan Malaysia Madani!” katanya.
Video muzik yang diterbitkan kumpulan terbabit dengan Sam Bunkface sebagai komposer dan penyusun lirik, manakala liriknya ditulis Pidaus.
Berdurasi dua minit 45 saat, video muzik itu turut dibintangi Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil.
Anwar sebelum ini mengusulkan supaya konsep Malaysia Madani dijadikan sebagai jalan ke depan untuk Malaysia serta masyarakatnya yang terdiri pelbagai kaum dan budaya.
Perdana Menteri berkata, kerajaan pasti akan berusaha supaya nilai yang diterapkan melalui konsep Malaysia Madani itu dapat digerakkan serta dilaksana sebaiknya.- Malaysiapost