Perdana Menteri doakan Rohana Jalil

DATUK Seri Anwar Ibrahim mendoakan penyanyi popular era 1980-an, Rohana Jalil, 68, yang kini dilapor kritikal di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) agar dikurniakan aafiyah.

Perdana Menteri berkesempatan menziarah seniwati itu ketika melawat rakannya Adzis Ismail di hospital berkenaan sehari sebelum umat Islam di Malaysia meraikan sambutan Hari Raya Aidilfitri.

“Jumaat lalu saya berkesempatan ke HCTM UKM bagi menziarahi saudara Adzis Ismail dan seniwati Rohana Jalil.
Seniwati Rohana sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), akibat kebocoran usus dan tahap kesihatannya masih dipantau pasukan perubatan.

“Manakala saudara Adzis yang merupakan rakan saya semasa di MCKK (Kolej Melayu Kuala Kangsar) sedang menjalani dialisis akibat masalah kesihatan yang dialami.

“Saya mendoakan kedua-dua mereka dikurniakan aafiyah, insya-Allah,” katanya dalam satu hantaran di Facebook rasminya.

Beliau turut berkongsi beberapa gambar ketika menziarah penyanyi berkenaan dan rakannya.

Media sebelum ini melaporkan rakan baik kepada Rohana, Datin Salwa Abdul Rahman berkongsi keadaan terkini penyanyi berkenaan.

Salwa berkata, dia terkejut diberitahu juara Bintang RTM 1980 itu berada dalam kritikal di ICU sejak 18 April lalu.

Katanya, doktor masih melakukan pemeriksaan dan pemantauan mengenai penyakit dihidapi Rohana memandangkan penyanyi lagu Rayuanku itu tidak pernah mengalami penyakit serius sebelum ini.

“Jaafar Onn ada menunjukkan gambarnya bersama Rohana ketika mengadakan persembahan di Plaza Shah Alam Ahad lalu.

“Bagaimanapun, Jaafar beritahu ketika sedang menyanyi, Rohana tidak boleh berdiri secara tiba-tiba.

“Rohana nak duduk dan terus berada dalam keadaan lemah. Saya memang terkejut kerana mengenalinya, Rohana seorang yang aktif dan jarang sakit,” katanya. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights