Polis minta wanita halang kereta di simpang lampu isyarat tampil

POLIS menggesa individu terbabit dalam video tular memaparkan seorang wanita menghalang kereta yang sedang bergerak di persimpangan lampu isyarat di Batu 1, Port Dickson untuk tampil membuat laporan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Port Dickson, Deputi Superintendan Muhamad Mustafah Hussin berkata, pihaknya mengesan video tular berkenaan pada 9.43 pagi semalam.

Menurutnya, video berdurasi 33 saat itu dimuatnaik pemilik akaun Twitter @bckupacc99 yang memaparkan seorang wanita cuba menghalang sebuah kereta Proton Wira yang sedang bergerak di persimpangan lampu isyarat berkenaan.

“Perbuatan dan tingkah laku dilakukan oleh wanita itu boleh membahayakan diri sendiri serta mendatangkan kerisauan terhadap orang awam.

“Setakat ini, polis belum menerima sebarang laporan daripada individu berkenaan berhubung insiden yang berlaku.

“Pihak polis menggesa individu tersebut supaya tampil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Port Dickson atau balai polis berdekatan bagi membuat laporan,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau turut menasihatkan orang awam supaya tidak menularkan video berkenaan yang boleh mendatangkan kegusaran awam dan menggugat ketenteraman awam.

“Penyebaran sedemikian adalah menjadi satu kesalahan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998” katanya. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights