TINDAKAN seorang lelaki cuba menyerang kumpulan penunggang motosikal dengan dua objek kayu di jalan raya seperti yang tular di media sosial sejak semalam dipercayai berpunca daripada ketidakpuasan hati terhadap kumpulan terbabit.
Ketua Polis Daerah Kemaman Superintendan Hanyan Ramlan, berkata pihaknya mengesan satu video tular di TikTok pada jam 5.36 petang semalam membabitkan seorang lelaki yang tidak berpuas hati terhadap sekumpulan penunggang motosikal.
Menurutnya, hasil siasatan mendapati kejadian itu berlaku di Kilometer (KM) 157, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan di persimpangan lampu isyarat Geliga, kira-kira jam 6.45 petang Sabtu yang juga hari raya pertama.
“Susulan kejadian ini laporan polis telah dibuat dan disiasat mengikut Seksyen 42, Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah.
“Polis Kemaman sedang mengesan semua pihak yang terlibat dalam kejadian tular itu untuk siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau turut menasihatkan semua pengguna jalan raya agar sentiasa berhati-hati dan berhemah serta mematuhi undang-undang jalan raya.
“Selain itu, pihak polis juga ingin memberi teguran kepada masyarakat supaya tidak mengambil tindakan sendiri, sebaliknya melaporkan kejadian kepada pihak polis supaya tindakan boleh diambil demi kesejahteraan masyarakat khasnya.
“Sebarang maklumat boleh disalurkan kepada pihak Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kemaman melalui Bilik Gerakan IPD Kemaman di talian 09-8592222,” katanya.
Terdahulu tular video berdurasi 26 saat memaparkan seorang lelaki berdiri di tepi jalan dengan memegang dua batang kayu untuk menghalau sekumpulan pemuda bermotosikal yang dipercayai menunggang laju di laluan berkenaan. – Malaysiapost