Bekas ahli Umno dedah Exco terbabit rasuah seks
BEKAS Ketua Umno Cawangan Projek Perumahan Awam (PPA) Sri Labuan, Datuk Zaharin Mohd Yasin yang dipecat daripada parti Oktober lalu, mendedahkan seorang Exco Kerajaan Negeri Melaka didakwa terbabit dengan rasuah seks.
Blogger yang juga antara pengkritik kuat Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi itu, mendakwa menerima maklumat membabitkan Exco terbabit yang juga Ketua Umno Bahagian di Melaka.
Menurutnya, perihal rasuah secara seksual itu diperoleh melalui rakaman video dan juga tangkap layar perbualan pemimpin berkenaan dengan seorang wanita.
“Saya telah menerima Whatsapp akan perihal seorang Ketua Umno Bahagian di Melaka yang juga Exco Kerajaan Negeri bervideo call dengan seorang wanita Melayu yang bertelanjang.
“Ketua Umno Bahagian ini dipertahankan oleh Presiden Umno setelah LD (Lembaga Disiplin) Umno mengatakan bersalah melanggar Perlembagaan Umno.
“Umno dari atas ke bawah langsung tidak bermoral. Nanti kita mungkin terima video seorang Exco yang juga Ketua Pemuda Umno Malaysia. Umno bertambah parah berbunuhan sama sendiri,” katanya dalam hantaran di Facebook.
Menurutnya, berdasarkan perbualan Whatsapp yang didakwa antara Exco terbabit dengan seorang wanita, pemimpin berkenaan juga memberikan sejumlah wang untuk habuan seks daripada wanita berkenaan.
“Kelulusan bukan ‘kaleng-kaleng’ dari Al-Azhar. Tentu arif soal agama. Apa jadahnya buat panggilan video dengan wanita minta dia telanjang.
“Tidak cukup dari itu. Melalui Whatsapp. Nak minta di tolong, minta habuan tidur bermalam. Lepas dah tidur termasuk adegan jijik. Tak juga membantu ‘uncle’ wanita itu,” katanya yang turut memuat naik beberapa tangkap layar perbualan Whatsapp itu.
Tanpa menyatakan nama Exco berkenaan, Zaharin bagaimanapun memberi gambaran identiti pemimpin terbabit melalui portfolio yang dipegangnya.
“Bagaimana dia nak berdepan dengan Pegawai Pendidikan Negeri dan berceramah di khalayak ramai. Mengendalikan mesyuarat. Tapi kerana dia tidak tahu malu, apa dia peduli,” katanya.
Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh sebelum ini menyenaraikan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) yang baharu termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Paya Rumput Datuk Rais Yasin.
Rais Yasin yang juga Ketua Umno Bahagian Tangga Batu dilantik memegang portfolio Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana, negeri. – Malaysiapost