TIMBALAN Ketua Pengarah Kesihatan (Penyelidikan dan Sokongan Teknikal) Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan dilantik sebagai Ketua Pengarah Kesihatan yang baharu berkuatkuasa pada 21 April lalu.
Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa, berkata pelantikan itu berdasarkan kelayakan dan pengalaman luasnya dalam bidang perkhidmatan kesihatan negara di Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Beliau berkata, Dr Muhammad Radzi pernah berkhidmat sebagai Ketua Jabatan Perubatan di Hospital Sultanah Bahiyah, Kedah; Ketua Penyelaras Perubatan Negeri Kedah; dan Ketua Pusat Penyelidikan Klinikal Kedah.
Menurutnya, beliau juga pernah dilantik sebagai Ketua Perkhidmatan Gastroenterologi dan Hepatologi serta menjadi pengerusi pentauliahan bidang kepakaran itu dari tahun 2013 sehingga 2021.
“Saya yakin dengan pengalaman, pengetahuan dan kepakaran serta kredibiliti Dr Muhammad Radzi mampu memberikan yang terbaik dan menjadi rakan pasukan bersama saya dalam memastikan matlamat dan agenda reformasi kesihatan negara dilaksanakan secara menyeluruh.
“Ia selaras dengan Kertas Putih Kesihatan yang sedang dibangunkan agar masyarakat Malaysia Madani dapat terus menikmati perkhidmatan kesihatan yang komprehensif, berkualiti serta mampan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dr Muhammad Radzi menggantikan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah yang bersara wajib selepas berkhidmat dalam bidang kesihatan negara selama 35 tahun termasuk menjawat jawatan Ketua Pengarah Kesihatan sejak 2013. – Malaysiapost