Dua beranak nyaris lemas ditarik ombak besar

Ben Ibrahim

OMBAK besar hampir meragut nyawa dua beranak yang sedang mandi di Pantai Teluk Chempedak, dekat Kuantan, petang semalam.

Namun, nyawa keduanya masih panjang apabila berjaya diselamatkan anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) yang sedang bertugas di situ.

Dalam kejadian jam 2.40 petang semalam, mangsa berusia 35 tahun dan anaknya berusia 10 tahun memgambil peluang cuti panjang sempena Aidilfitri dengan mandi di pantai berkenaan.

Pegawai APM Kuantan, Kapten (PA) Shaiful Nizam Ab Rahman berkata, insiden itu disedari pengunjung pantai terbabit dan memaklumkan kepada petugas APM.

“Anggota kami yang bertugas di situ segera memberikan bantuan menggunakan bot penyelamat dan pelampung keselamatan.

“Berdasarkan maklumat awal, kedua beranak itu menetap di Temerloh, Pahang dan datang ke Kuantan untuk bercuti,” katanya.

Katanya, mangsa adalah warga Kemboja dan pihaknya sudah memasang bendera merah di sepanjang pantai itu sebagai amaran kepada pengunjung.

“Kita sudah buat segala persiapan termasuk memasang bendera amaran, jadi terpulang kepada sikap pengunjung itu sendiri untuk menjaga keselamatan mereka.

“Bagi APM, kita sentiasa menempatkan sekurang-kurangnya lima anggota di setiap lokasi tumpuan orang ramai sebagai langkah berjaga-jaga,” katanya. – Malaysiapost

Kredit foto: Ihsan APM Pahang

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights