Pemilik akaun ‘Indera Mulia’ direman 4 hari hina Sultan Johor
SEORANG lelaki direman empat hari bermula hari ini kerana memuat naik hantaran berunsur penghinaan terhadap Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ismail Ibni Almarhum Sultan Iskandar di media sosial.
Setiausaha Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Noorsiah Saaduddin berkata, permohonan reman dibuat di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah.
Menurutnya, kes berkenaan dikendalikan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Bahagian D5, Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman.
“PDRM menasihatkan orang ramai tidak menyalahgunakan media sosial dengan mengeluarkan kenyataan yang mengundang kemarahan, menimbulkan rasa benci kepada agama, bangsa, kaum, raja dan seumpamanya.
“Rakyat juga dinasihatkan tidak mengeluarkan kenyataan yang boleh membawa kepada rasa tidak harmoni dan menjejaskan perpaduan negara,” katanya dalam kenyataan, hari ini
Semalam, media melaporkan seorang lelaki berusia 35 tahun ditahan di sebuah rumah di Puchong dipercayai memuat naik hantaran berunsur penghinaan terhadap Sultan Johor di media sosial.
Pada 20 April lalu, lelaki itu dipercayai telah mengeluarkan hantaran itu menerusi akaun Facebook dengan nama ‘Indera Mulia’.
Dalam serbuan itu, polis turut merampas sebuah telefon bimbit dan sekeping kad sim untuk membantu siasatan.
Tambah Noorsiah, kes itu disiasat di bawah Seksyen 4 (1) Akta Hasutan 1948 kerana mendatangkan kebencian atau penghinaan terhadap mana-mana Raja atau kerajaan.
Kes tersebut turut disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian. – Malaysiapost