RAKYAT perlu pilih pada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan datang, sama ada mahu pemimpin yang hanya pandai fitnah atau yang cakap benar dan mampu buat kerja.
Pengerusi DAP Lim Guan Eng, berkata berbeza dengan parti lawan, Pakatan Harapan (PH) terbukti mampu mentadbir negeri dengan baik termasuk membekalkan kemudahan asas seperti bekalan air bersih.
Menurutnya, parti lawan hanya pandai membuat fitnah namun kemudahan asas pun tidak boleh disediakan yang akhirnya rakyat yang akan merana.
“Bersyukurlah dalam bulan Ramadan di Pulau Pinang tidak mengalami masalah gangguan bekalan air. Dalam bulan Syawal pasti juga tidak wujud masalah kekurangan air.
“Inilah salah satu tugas utama sebuah kerajaan negeri yang bertanggungjawab untuk membekalkan kemudahan asas.
“Ia tidak datang dalam sehari dua tetapi bekalan air yang dinikmati sekarang adalah hasil perancangan teratur dan titik peluh 12 tahun yang lepas,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Bagan dan bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, menegaskan kerusi DAP sedia ada di Pulau Pinang, Negeri Sembilan dan Selangor akan dipertahankan untuk kerajaan negeri PH.
Guan Eng berkata, tekad itu dikongsikannya semasa lawatan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Rahang, Mary Josephine Prittam Singh dan akar umbi serta ahli-ahli Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Rahang, Negeri Sembilan ke ibu pejabat DAP Pulau Pinang, semalam.
Beliau berkata, turut sama dalam pertemuan itu Timbalan Menteri Pendidikan merangkap Ahli Parlimen Tanjong, Lim Hui Ying, Adun Sungai Pinang, Lim Siew Khim dan Adun Pulau Tikus, Chris Lee.
Menurut Guan Eng, DAP juga akan berusaha menembusi kubu kuat di tiga negeri lain pimpinan Perikatan Nasional (PN).
“Tugas kami bukan sahaja mempertahankan kerajaan negeri, tetapi untuk mengukuhkan lagi kerajaan persekutuan bertahan lima tahun sepenuhnya,” katanya. – Malaysiapost