SERAMAI 76 kakitangan di Akademi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Jalan Duta di sini, berdepan detik cemas apabila berlaku tanah runtuh di kawasan berkenaan.
Kesemua mereka terdiri daripada 36 lelaki dan 40 wanita bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.
Mereka dipindahkan ke lokasi selamat oleh pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) yang tiba di lokasi kejadian.
Kejadian kira-kira pukul 1 tengah hari itu turut menyebabkan pondok keselamatan di hadapan pintu masuk bangunan berkenaan runtuh.
Komander Operasi Kanan, E Yogeswaran berkata, Pusat Gerakan Operasi JBPM Kuala Lumpur menerima panggilan kecemasan dari Balai Polis Sentul pada 1.54 tengah hari.
“Sebaik tiba, kita mendapati tanah runtuh berlaku di hadapan pintu masuk Akademi SPRM dan meruntuhkan sebuah pondok pengawal keselamatan.
“Keluasan tanah runtuh dianggarkan 12,000 kaki persegi,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Yogeswaran berkata, terdapat seramai 76 orang mangsa di dua bangunan berhampiran tidak mengalami sebarang kecederaan dan dipindahkan ke tempat selamat.
Katanya, kejadian tidak membabitkan blok bangunan kuarters dan asrama, hanya blok pentadbiran.
“Runtuhan berlaku di bahagian hadapan pintu masuk yang turut menyebabkan pondok kawalan keselamatan runtuh.
“Pergerakan tanah masih berlaku dipercayai berpunca daripada paip pecah di bawah tanah,” katanya.
Menurutnya, pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan pihak Air Selangor turut berada di lokasi untuk tindakan lanjut. – Malaysiapost