DUA lagi mangsa kemalangan di Kilometer 153 Jalan Jerangau-Jabor di Cheneh, Kemaman semalam disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan, menjadikan keseluruhan mangsa terkorban dalam tragedi 3 Syawal itu kini enam orang.
Kejadian kira-kira jam 5 petang itu membabitkan dua kereta jenis Proton Persona dinaiki keseluruhan 13 mangsa yang bertembung di laluan berkenaan.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan ketika mengesahkan perkara tersebut berkata dua lagi mangsa meninggal dunia di hospital manakala empat lagi mangsa maut di lokasi kejadian.
Menurutnya, mangsa maut adalah empat penumpang di dalam Proton Persona pertama iaitu Nor Nadia Natasha Abu Bakar, 23; Nur Syafinaz Naura Saiful Azwan, 2; Tuan Yah Dollah, 61; dan Rosliza Mat Hussin, 38.
Beliau berkata, pemandu kereta itu, Shah Rezzal Zanzalani, 27, dan tiga penumpang lain pula cedera iaitu Wan Muhamad Adam Wan Muhamad Khalil, 11; Wan Alya Farhana Wan Muhamad Khalil,15; dan Nur Syafana Nasha Saiful Azwan, 2.
“Manakala di dalam Proton Persona kedua pula, mangsa yang maut adalah Abd Halim Ismail, 71 dan Alisha Mardhiah Muhammad Ubaidillah Zikri, 2.
“Pemandu kereta Muhammad Ubaidillah Zikri Adnan, 26 dan dua penumpang lain Nurul Fatihah Azman, 28, dan Zaiton Mohamad, 57, mengalami kecederaan,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurutnya, siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berpunca apabila kereta dipandu Shah Rezzal yang dalam perjalanan dari Bukit Besi, Dungun ke Cheneh, hilang kawalan dan memasuki laluan bertentangan.
“Keadaan itu menyebabkan kenderaan dipandu Muhammad Ubaidillah Zikri dari Perasing menghala ke Batu Rakit, Kuala Nerus, tidak dapat mengelak kerana jarak yang dekat dan menyebabkan kedua-dua kereta bertembung secara berhadapan.
“Empat mangsa maut di lokasi kejadian, manakala dua mangsa iaitu Alisha Mardhiah dan Rosliza meninggal dunia di Hospital Kemaman.
“Mayat semua mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Kemaman, manakala mangsa yang cedera dibawa ke hospital sama untuk rawatan lanjut,” katanya.
Beliau berkata, siasatan lanjut masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Terdahulu Ketua Zon 2 Jabatan Bomba dan Penyelamat Terengganu, Penguasa Kanan Bomba II, Azman Alias berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kemalangan membabitkan dua kereta Persona, kira-kira jam 4.47 petang.
Menurutnya, empat mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian membabitkan tiga penumpang kereta pertama iaitu dua wanita, Tuan Yah Dollah, 61, Nor Nadia Natasha Abu Bakar, 22, dan Nor Syafinaz Naura Saiful Azwan, berusia dua tahun.
Katanya, seorang lagi yang maut ditempat kejadian adalah penumpang depan kereta kedua dikenali sebagai Abdul Halim Ismail, 71. – Malaysiapost
Kredit foto: Bomba