30 warga Malaysia di Sudan berlepas ke Jeddah naik kapal tentera laut Arab Saudi

SERAMAI 30 warga Malaysia yang berada di Sudan telah berjaya dibawa keluar dari negara itu, hari ini.

Wisma Putra dalam kenyataan di Facebook berkata, kesemua warga Malaysia itu selamat meninggalkan Pelabuhan Sudan dengan menaiki kapal tentera laut Arab Saudi menuju Jeddah.

Menurutnya, perjalanan merentasi Laut Merah dijangka mengambil masa sekurang-kurangnya 12 jam.

“Kerajaan Malaysia menyampaikan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih ke atas Kerajaan Arab Saudi dan Kerajaan Emiriah Arab Bersatu (UAE) atas bantuan dalam menjayakan misi ini.

“Atas semangat ehsan jua, Malaysia turut memudahcara evakuasi warganegara Kemboja, Palestin, Filipina, Singapura, Sudan, Thailand, dan Amerika Syarikat untuk dibawa keluar dari Sudan dengan selamat di bawah usaha dan pemantauan operasi evakuasi Malaysia,” katanya hari ini.

Kelmarin, Pasukan Khas (TF) Ops Sudan Malaysia berjaya membawa 30 warga Malaysia dengan selamat ke Pelabuhan Sudan.

Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, kesemua mereka tiba pada jam 2.07 petang waktu tempatan.

Beliau berkata, kumpulan terbabit melalui perjalanan sejauh 1,233 kilometer ke Pelabuhan Sudan yang mengambil masa selama 30 jam.

Setakat ini, media Arab Saudi melaporkan pihak tentera laut negara itu berjaya membawa keluar seramai 1,687 rakyat daripada 58 negara sejak operasi pertama Sabtu lepas. – Malaysiapost

Kredit foto: Saudi Gazette

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights