4 ‘lanun’ rompak pelantar minyak diberkas

AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menahan empat ‘lanun’ warga tempatan yang disyaki merompak pelantar minyak berhampiran Jeti Pelabuhan Tanjung Langsat dekat Pasir Gudang, semalam.

Pemangku Ketua Pengarah Maritim Malaysia yang juga Timbalan Ketua Pengarah (Logistik) Laksamana Madya Maritim Datuk Saiful Lizan Ibrahim, berkata rompakan dipercayai berlaku antara jam 12.30 tengah malam hingga jam 4.35 pagi semalam.

Menurutnya, pihak Maritim Malaysia Johor menerima aduan mengenai insiden rompakan di atas pelantar pelantar Aurora Producer 1 di kedudukan 0.7 batu nautika timur laut Jeti Pelabuhan Tanjung Langsat pada jam 10.30 malam kelmarin.

“Sebuah bot ronda Maritim Malaysia diarahkan ke lokasi kejadian dan tiba pada 12.30 tengah malam serta menemui sebuah bot gentian kaca bersama empat orang yang disyaki berada di bawah pelantar terbabit dalam keadaan mencurigakan.

“Menyedari kehadiran bot ronda Maritim Malaysia, suspek dilihat bertindak menenggelamkan bot gentian kaca dan berpaut pada tiang pelantar sebelum keletihan dan bertindak terjun ke laut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kesemua suspek warga tempatan yang berumur diantara 27 tahun hingga 47 tahun itu berjaya diselamatkan oleh bot ronda Maritim Malaysia seterusnya ditahan dan dibawa ke Zon Maritim Tanjung Sedili untuk siasatan lanjut.

“Hasil pemeriksaan awal di pelantar Aurora Producer 1 telah menemui dua orang kru warga tempatan berumur 24 tahun dan 32 tahun yang disyaki menjadi mangsa rompakan.

“Mangsa mengatakan ketika kejadian pelantar dinaiki tiga lelaki bertopeng dan bersenjatakan parang telah menyerang dan mengikat kaki, tangan dan mulut mereka sebelum dikurung di dalam sebuah kabin di atas pelantar tersebut.

“Mangsa telah terkurung selama dua jam sebelum berjaya melepaskan ikatan dan bersembunyi bagi menunggu ketibaan pihak berkuasa,” katanya.

Menurutnya, suspek dipercayai cuba mencuri kabel dan perkakasan kerja dan dua telefon bimbit milik mangsa juga dilaporkan hilang.

“Jumlah dan barang perkakasan pelantar yang disyaki dicuri masih di dalam siasatan.

“Kesemua suspek telah direman selama lima hari bagi siasatan mengikut Seksyen 391 Kanun Keseksaan atas kesalahan rompakan berkumpulan,” katanya. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights