KEGEMBIRAAN sebuah keluarga menyambut Aidilfitri bertukar tragedi apabila seorang kanak-kanak perempuan berusia setahun sembilan bulan ditemui lemas dalam kolam renang di rumah datuknya di Tambun, Perak, semalam.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, polis menerima maklumat berhubung kejadian itu pada jam 10.30 malam daripada pihak hospital berkaitan kematian akibat lemas.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati lokasi kejadian merupakan sebuah kolam renang kanak-kanak yang terletak dalam sebuah rumah milik datuk mangsa.
“Mangsa bersama kedua ibu bapanya datang ke rumah itu kerana menziarahi ahli keluarga sempena Aidilfitri. Bagaimanapun, mangsa dijumpai bapanya pada jam 8.45 malam dalam keadaan terlentang dan terapung di dalam kolam tersebut.
“Mangsa yang tidak sedarkan diri segera dibawa naik dan dihantar ke hospital untuk rawatan kecemasan sebelum disahkan meninggal dunia oleh pihak hospital,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, bedah siasat ke atas mayat kanak-kanak itu telah dilakukan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) dan punca kematian akibat mati lemas.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 33 Akta Kanak-kanak 2001 (Akta 611) kerana membiarkan kanak-kanak tinggal tanpa pengawasan berpatutan.
“Orang ramai khususnya ibu bapa dan penjaga dinasihatkan agar tidak membiarkan anak-anak masing-masing tanpa pengawasan bagi mengelakkan tragedi tidak diingini,” katanya. – Malaysiapost