GABUNGAN Parti Sarawak (GPS) menyangkal dakwaan cubaan untuk menjatuhkan Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Pemangku Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Fadillah Yusof, berkata GPS berdiri teguh dalam menyokong segala usaha Kerajaan Perpaduan untuk pemulihan ekonomi negara.
“Premier Sarawak (Abang Johari Openg) beberapa kali menekankan kita mahukan kerajaan stabil, kukuh yang akan meletakkan semula Malaysia ke landasan betul.
“Lebih-lebih lagi dalam memulihkan ekonomi negara serta memberi tumpuan kepada kesejahteraan rakyat dan sudah tentu kekayaan negara, hanya selepas itu Malaysia akan kembali kepada landasan betul.
“Jika kita terus berpolitik, kita akan ketinggalan jauh dari rantau Asean,” katanya.
Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata demikian ketika mengulas laporan media mengenai dakwaan ada perbincangan dibuat oleh beberapa parti termasuk di Sabah dan Sarawak untuk menjatuhkan Kerajaan Perpaduan.
Ditanya jika ada sebarang gerakan atau usaha untuk menggulingkan Anwar ketika ini, Fadillah enggan mengulas mengenainya.
“Saya tidak tahu sama ada terdapat sebarang pergerakan atau tidak pada masa ini. Sebab itu saya tidak mahu mengulas sesuatu tidak boleh dipercayai,” katanya.
Sebelum ini, Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong turut menafikan dakwaan bahawa Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) bekerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) merancang komplot baru untuk menggulingkan pentadbiran Anwar.
Terdahulu, media melaporkan terdapat khabar angin mengenai percubaan PN untuk meyakinkan beberapa ahli parlimen BN supaya meletak jawatan bagi memberi laluan kepada pilihan raya kecil (PRK).
Menurut laporan itu, sekiranya Ahli Parlimen BN terbabit menang, mereka akan dapat membentuk kerajaan baru dengan bantuan Ahli Parlimen dari Sabah dan Sarawak.
Bagaimanapun, perkara itu disangkal Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang menegaskan tiada perbincangan dalam Bersatu dan PN untuk menggulingkan Perdana Menteri seperti mana yang dilaporkan.
Tegasnya, PN akan memberi tumpuan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang, khususnya negeri yang ditadbir oleh Pakatan Harapan (PH). – Malaysiapost