Halang kereta kerana tak mahu suami ke rumah anak

Halang kereta kerana tak mahu suami ke rumah anak

WANITA yang tular selepas dirakam menghalang sebuah kereta di persimpangan lampu isyarat di Batu 1, Port Dickson baru-baru tampil ke Balai Polis Port Dickson bagi menjelaskan apa yang sebenarnya berlaku.

Timbalan Ketua Polis Daerah Port Dickson Deputi Superintendan Muhamad Mustafah Hussin, berkata wanita berusia 32 tahun itu tampil jam 4.15 petang semalam bersama suaminya berusia 58 tahun yang juga pemandu kereta yang dihalangnya.

Menurutnya, pasangan warga Indonesia itu tampil selepas menyedari video kejadian itu yang dirakam pengguna jalan raya lain tular di media sosial.

“Hasil temubual polis, pasangan yang beralamat di Port Dickson itu menjelaskan berlaku pertengkaran antara mereka kerana suami hendak memandu ke rumah anak mereka di Telok Kemang.

“Isterinya menghalang kerana bimbang kesihatan suami yang baru mendapat rawatan di Hospital Port Dickson setelah enam hari umat Islam berpuasa.

“Tanpa menghiraukan isteri, lelaki terbabit keluar rumah dan memandu kereta jenis Proton Wira untuk ke Telok Kemang, namun isteri dengan membonceng motosikal jiran berjaya mengesannya di persimpangan lampu isyarat berkenaan dan bertindak menghalang kereta dipandu suaminya,” katanya dalam satu kenyataan.

Muhamad Mustafah berkata, pasangan terbabit mengakui kesilapan mereka dan memohon maaf atas perbuatan yang boleh membahayakan diri sendiri dan orang awam lain.

Sebelum ini, polis menggesa individu terbabit dalam video tular pada 23 April lalu yang memaparkan seorang wanita menghalang sebuah kereta di persimpangan lampu isyarat untuk tampil membuat laporan. – Malaysiapost

Komen