JKR siasat terperinci runtuhan tanah di MACA – Alexander

MENTERI Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berharap usaha mengenalpasti punca sebenar dan langkah mengawal runtuhan tanah berhampiran Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA), semalam dapat disegerakan.

Beliau berkata, setakat ini tiada tanda-tanda faktor semulajadi yang dikenalpasti menyebabkan runtuhan itu,walau bagaimanapun, Jabatan Kerja Raya (JKR) sedang menjalankan siasatan lanjut dan terperinci.

Gambar ihsan JBPM Kuala Lumpur

“Saya juga telah mendapatkan maklumat daripada Cawangan Kejuruteraan Cerun JKR yang telah turun ke lokasi.

“Saya dimaklumkan berdasarkan siasatan awal, kebocoran paip air bawah tanah berkemungkinan menyumbang kepada insiden ini,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Beliau turut memohon kerjasama semua pihak supaya mematuhi arahan pihak berkuasa bagi mengelakkan kejadian tidak diingini di kawasan berkenaan.

Gambar ihsan JBPM Kuala Lumpur

Dalam kejadian kira-kira jam 1 tengah hari semalam berlaku runtuhan tanah berdekatan bangunan MACA milik Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Persiaran Tuanku Syed Sirajuddin, Kuala Lumpur.

Kejadian itu turut menyebabkan pondok keselamatan di hadapan pintu masuk bangunan berkenaan runtuh, namun tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai memaklumkan takungan air serta paip bawah tanah pecah disyaki antara punca kejadian tanah runtuh berkenaan. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights