Kerajaan “menculik” majlis penting tahunan Islam bagi mencapai matlamat kuasanya – PN
PERIKATAN Nasional (PN) merakamkan rasa terkejut dan ralat atas keputusan kerajaan pusat untuk mengadakan majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri secara bergilir-gilir di enam negeri di Semenanjung Malaysia bermula pada 29 April ini.
Timbalan Setiausaha Agung PN Datuk Seri Takiyuddin Hassan, berkata jika dilihat dari sudut mana pun, penganjuran itu jelas berlebih-lebihan dan keterlaluan, malah kelihatan terlalu gelojoh dan sangat menjolok mata, selain tidak wajar dipertahankan.
Beliau yang juga Ketua Whip PN berkata, majlis sambutan Hari Raya di enam negeri yang bakal menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) itu tentulah akan mencetuskan persoalan mengenai motif dan tujuan ia diadakan.
“Langkah sebegini sekiranya dikatakan untuk meraikan hari kebesaran Agama serta muhibah umat iaitu Hari Raya Aidilfitri, ternyata jauh tersasar dan jelas akan tercemar.
“Ini kerana ia tidak lagi boleh dipisahkan daripada motif politik dan persaingan pengaruh menjelang PRN yang bakal berlaku beberapa bulan sahaja lagi,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurutnya, retorik kononnya Pas dan sekarang ini PN adalah parti yang “menunggang agama” untuk tujuan politik, kini berbalik kepada kerajaan pusat sendiri yang “menculik” majlis penting tahunan Islam itu bagi mencapai matlamat kuasanya.
Beliau berkata, majlis sambutan bersiri itu juga melanggar konvensyen dan adab hubungan antara kerajaan pusat dan negeri-negeri dari segi wibawa dan bidang kuasa masing-masing.
“Adalah lebih manis dan sopan sekiranya Putrajaya mengekalkan amalan pembahagian tradisi dengan majlis masing-masing pihak kekal sebagai acara sambutan terbesar dan utama di peringkat masing-masing sebagai tanda hormat terhadap wibawa dan bidang kuasa itu.
“Tindakan melangkahi sempadan hormat dan adab antara kerajaan pusat dan kerajaan negeri dalam konteks ini jelas mencabar imej serta maruah negeri-negeri dan tentulah tidak akan menyumbang kepada hubungan baik dan saling mempercayai antara kedua-dua belah pihak.
“Keadaan ini juga tentulah tidak bermanfaat kepada rakyat dan negara serta usaha dan cita-cita untuk mewujudkan sebuah persekutuan yang kuat dan saling mengukuhkan,” katanya.
Takiyuddin berkata, PN juga percaya majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri yang berlebih-lebihan sangat berlawanan dengan penyataan dasar dan komitmen Putrajaya untuk berjimat cermat bagi mengukuhkan kedudukan kewangannya.
“PN juga merakamkan kebimbangan berhubung kemungkinan berlakunya penyalahgunaan agensi dan jentera kerajaan dalam penganjuran majlis-majlis sambutan ini kerana motif politiknya sudah tidak boleh disorok lagi.
“Justeru itu kerajaan pusat perlu memberi jaminan ia tidak berlaku, selain memastikan semua janji dan slogan tentang salah guna kuasa, penyalahgunaan jentera dan kelemahan pengurusan yang diwarwarkannya sebelum ini tidak hanya tinggal slogan dan janji di bibir semata-mata,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata PN juga menyuarakan kekecewaan terhadap keputusan tidak profesional dan melanggar kontrak oleh stesen televisyen TV3 yang membatalkan slot takbir Hari Raya oleh PN pada 21 April lalu.
“PN mendesak pihak pengurusan TV3 dan juga kerajaan pusat, terutamanya Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD), bersikap jujur dalam isu ini, sekali gus menafikan berlakunya campur tangan politik mensabotaj siaran takbir berkenaan atas apa-apa tujuan sekali pun.
“Integriti TV3 dan KKD sangat bergantung kepada kesediaannya untuk bersikap telus dan profesional, terutama dalam menghormati kontrak dan janji yang dibuat secara sah dan formal,” katanya. – Malaysiapost