MENTERI Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor diingatkan agar tidak sekadar pandai berceramah sahaja sebaliknya segera menyelesaikan masalah gangguan air yang melanda di negeri itu, ketika ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kubang Rotan, Asmirul Anuar Aris berkata, sikap Muhammad Sanusi yang sering menuding jari ke atas pihak lain tidak akan menyelesaikan masalah bekalan asas keperluan hidup itu yang sedang berlaku di Kuala Kedah.
“Jangan biarkan rakyat menderita kerana pemerintah negeri yang sibuk berpolitik, bercakaran dan menghentam kenyataan antara Negeri dan Persekutuan?
“Lalu apa kelebihan yang MB Kedah dapat? Boleh menyelesaikan masalah air di Kedah?” katanya menerusi Facebook, hari ini.
Terdahulu, hampir satu juta daripada kira-kira 2.2 juta penduduk Kedah dilapor mengalami krisis bekalan air yang disalurkan Syarikat Air Darul Aman (SADA) sepanjang sambutan Aidilfitri kali ini.
Mengulas lanjut, Asmirul Anuar yang merupakan wakil rakyat daripada Amanah berkata, kebanyakan lori SADA gagal beroperasi menepati jadual ataupun terlewat daripada garis panduan yang ditetapkan.
“Jangan hanya kokok sahaja berdegar-degar sedangkan masalah bekalan air di negeri sendiri pun tidak mampu diselesaikan.
“Mohon sekali lagi MB Kedah yang juga Pengerusi SADA agar dapat menjadi juara keseluruhan kepada penyelesaian terhadap permasalahan air di Kedah, bukan sekadar pandai ceramah sahaja,” katanya.
Dalam pada itu, bekas Exco Belia dan Sukan Kedah itu bertanyakan perkembangan terbaharu operasi Loji Rawatan Air (LRA) di negeri itu.
“Apakah yang telah terjadi pada Loji Pelubang, Sungai Limau dan Bukit Selambau? Sehinggakan menurut laporan akhbar terkini satu juta rakyat Kedah menanggung bahana akibat krisis bekalan air,” katanya.
Sebelum ini, SADA dalam satu kenyataan memaklumkan mengenai pelaksanaan pelan kontingensi selama lima hari bermula 20 hingga 24 April lalu.
Langkah itu sebagai persediaan awal berdepan kemungkinan gangguan bekalan air di seluruh daerah di negeri itu sempena cuti Aidilfitri.
Syarikat air tersebut turut mengakui jangkaan peningkatan permintaan air melebihi 30 peratus di negeri itu disebabkan antara lain anak perantau kembali ke kampung halaman. – Malaysiapost