Mana nak lari?

POLIS telah menyerbu sebuah rumah di Kampung Machang Bubok, Peringat, Kota Bahru, Kelantan semalam susulan video tular aksi seorang penunggang motosikal yang membonceng seorang wanita berpakaian baju Melayu dengan melakukan aksi ‘wheelie’.

Ketua Polis Daerah Kota Bahru Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud, berkata serbuan itu selepas laporan polis dibuat berhubung video berdurasi 28 saat yang dikesan tukar pada jam 1 tengah hari semalam.

“Bertindak atas maklumat, pada jam 5.50 petang semalam, sepasukan polis dari Unit 42 Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bahru membuat serbuan di sebuah rumah di Kampung Machang Bubok.

“Hasil serbuan berjaya merampas sebuah motosikal jenis Honda C-110B warna putih dan baju kurung serta baju Melayu berwarna biru yang dipercayai digunakan semasa melakukan aksi berbahaya tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kedua-dua suspek bagaimanapun gagal ditemui dan dipercayai telah melarikan diri, namun telah dikenalpasti identiti mereka serta akan disenarai hitamkan.

“Usaha mengesan suspek sedang dijalankan untuk diambil tindakan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang boleh membawa hukuman penjara tidak lebih lima tahun dan denda tidak kurang RM5,000 dan tidak lebih RM15,000.

“Polis menggesa kedua-dua suspek atau orang ramai yang melihat atau mempunyai maklumat lanjut mengenai kejadian itu menghubungi Ketua BSPT IPD Kotak Bahru Asisten Superintendan Ahmad Adnan Mohamad di talian 09-7752200.

“Orang ramai juga boleh tampil ke IPD Kota Bahru atau mana-mana balai polis berdekatan untuk membantu siasatan,” katanya.

Menurutnya, penunggang motosikal terbabit yang dikehendaki adalah remaja lelaki berusia 17 tahun, beralamat di Kampung Machang Bubok. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights