Petisyen pilihan raya Segamat ditolak, Ramasamy fail rayuan

SELEPAS Mahkamah Pilihan Raya Muar menolak petisyen pilihan rayanya pada April lepas, calon Barisan Nasional (BN) bagi kawasan Parlimen Segamat, Tan Sri M Ramasamy merayu keputusan tersebut di Mahkamah Persekutuan.

Pada 3 April lalu, Hakim Radzi Abdul Hamid menolak petisyen pilihan raya Ramasamy sekali gus mengekalkan kemenangan calon Pakatan Harapan (PH), R Yuneswaran bagi kawasan itu.

Mahkamah membuat keputusan tersebut selepas mendapati petisyen difailkan Ramasamy pada Januari lalu adalah cacat dan tidak menepati keperluan Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 dan turut mengarahkannya membayar kos sebanyak RM30,000.

Ramasamy memfailkan notis rayuannya pada 14 April lalu di mahkamah tertinggi negara dengan menamakan Yuneswaran, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Pegawai Pengurus bahagian Pilihan Raya Segamat selaku responden.

Dalam petisyen pilihan rayanya yang ditolak mahkamah, Ramasamy mendakwa Yuneswaran dan ejennya melanggar peraturan pilihan raya melibatkan bahan kempen selain mendakwa Yuneswaran mengedarkan bungkusan makanan kepada pengundi ketika berkempen.

Yuneswaran menang kerusi Parlimen Segamat pada Pilihan Raya Umum (PRU) tahun lepas dengan majoriti 5,669 undi mengalahkan Ramasamy, calon Perikatan Nasional (PN), P Poobalan dan calon Pejuang, Syed Hairoul Faizey. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights