MENJELANG pilihan raya negeri (PRN) akan datang, Pakatan Harapan (PH) melancarkan muzik video lagu bertajuk ‘PRN Kelantan 2023: Mari Pakat Kito Tukar’ sebagai kempen untuk menarik pengundi di negeri itu.
Pendekatan lagu berkonsepkan gabungan elemen dikir barat dan rap itu sebagai salah satu alternatif tarikan bagi mengajak pengundi supaya menukar pentadbiran Kelantan daripada PAS kepada PH.
Lagu berkenaan dicipta dan dinyanyikan oleh Encik Mattao.

Video klip lagu berkenaan yang berdurasi 3.10 minit itu dikongsikan oleh Naib Presiden PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad di Facebook miliknya.
Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim itu turut memuat naik video lagu menerusi akaun Youtube rasmi beliau.
Muzik video itu memaparkan cabaran yang terpaksa diharungi oleh rakyat di Kelantan dan berdepan dengan pelbagai masalah seperti kekurangan bekalan air bersih, dan kesukaran golongan muda-mudi untuk mendapatkan pekerjaan.
Sehubungan itu, ia mengajak pengundi supaya memilih warna merah (PH) dan bukan lagi hijau (PAS) supaya Kelantan dapat diangkat ke tahap yang sama seperti negeri-negeri lain yang lebih maju.
Sebelum ini, Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan dijangka dibubarkan dalam tempoh dua minggu sebelum berakhir Jun depan.
Menurutnya, kesemua negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Kedah, Negeri Sembilan, Pulau Pinang dan Selangor dikatakan telah bersetuju untuk membubarkan DUN masing-masing pada Jun.
Beliau bagaimanapun menjelaskan tarikh pembubaran antara satu negeri dengan negeri yang lain tidak sama namun masih pada Jun. – Malaysiapost